DIPOTONG
TANGAN KARENA MEMBERI SEDEKAH
Dikisahkan
bahwa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka
lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata,
"Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah
S.W.T."
Setelah
fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu
memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan
roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong
tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka
Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta
kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia
meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan
meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu
menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang
ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan
mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan
gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis
tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan
pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada
suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan
bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak
tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang
tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan
dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun
berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara
harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan
kiri."
Setelah
si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri,
walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar
suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba
Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana
Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu
itu."
Setelah
gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya,
dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun
makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa
menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke
rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka
sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka
sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi
kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan
kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tamu itu apabila dia datang
ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan
seribu rahmat."
Oleh: M. A. Simbolon
Dari berbagai sumber
Dari berbagai sumber
Tidak ada komentar:
Posting Komentar